Kalau tak buat kali ini, kita akan ketinggalan – Mohamad Hasan

PERSEFAHAMAN antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan merupakan usaha penting bagi memastikan masa depan bangsa dan agama terus terpelihara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu sebenarnya pernah dimulakan pada 2018, namun tidak berjaya diteruskan.

“Dan saya buat satu persefahaman yang bagi saya amat penting bagi bangsa dan agama kita. Maka di Negeri Sembilan saya mulakan di rumah saya pada 2018 tapi entah macam mana tak jadi, setengah jalan tak jadi.

“Tapi saya kata bahawa kalau tak buat kali ini kita akan ketinggalan. Kita akan kecewa tuan-tuan sekalian kerana anak cucu kita akan menjadi sebagai orang yang berdagang di tanah air. Saya tak mahu itu terjadi,” katanya yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Program Kesejahteraan Warga ATM sempena Karnival Hari Keluarga Pangkalan Udara Sendayan, di Sendayan, Seremban hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, usaha berkenaan perlu dimulakan sekarang kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan peluang itu hilang buat selama-lamanya.

“Dan kalau kita tak mulakan hari ini kita akan terlepas peluang itu untuk selama-lama.

“Maka di Negeri Sembilan saya bawa persefahaman supaya bersatulah. Itulah masa depan anak cucu kita dan mari kita sama-sama menjayakan apa yang dilakukan pada kali ini,” tambahnya.

Pada program sama, Mohamad turut berkongsi bagaimana pembangunan Sendayan yang pernah terbengkalai akibat kegawatan ekonomi akhirnya berjaya diselesaikan, selepas beliau mencari kaedah bagi menyelesaikan isu pampasan kepada penduduk.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pembangunan yang dirancang itu kini menjadikan Sendayan sebagai antara kawasan perumahan yang berkembang pesat sehingga menarik pembeli dari luar Negeri Sembilan.

“Hari ini Alhamdulillah Sendayan menjadi sebagai apa dia panggil sebagai Damansara di Seremban.

“Alhamdulillah satu pembangunan yang saya sendiri rancang,” jelasnya yang mana setiap aspek pembangunan kawasan itu turut dirancang dengan teliti.

Ia termasuk reka bentuk perumahan dan kemudahan awam, bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img