Kerajaan tidak akan ambil alih Datasonic Technologies – MKN

KERAJAAN MADANI tidak bercadang mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), syarikat yang menyediakan sistem identiti nasional serta membekalkan dokumen identiti dan dokumen keselamatan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pendirian itu dibuat susulan laporan media mengenai kemungkinan pengambilalihan syarikat berkenaan.

“Berkaitan laporan media mengenai cadangan pengambilalihan Datasonic Technologies yang menyediakan perkhidmatan identiti rakyat, Kerajaan MADANI berpendirian untuk tidak mengambil alih DTSB,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

MKN menegaskan, identiti rakyat merupakan antara aset strategik terpenting negara, justeru aspek keselamatan dan kedaulatannya sentiasa diberikan keutamaan tertinggi oleh kerajaan.

Menurut MKN, usaha mengawal selia perkara itu dilaksanakan menerusi rangka kerja yang merangkumi aspek perundangan, kewangan, tadbir urus dan keselamatan.

Pada masa sama, MKN memaklumkan kerajaan akan terus meneroka dan meneliti strategi proaktif serta berkesan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan identiti rakyat sentiasa terpelihara.

“Strategi-strategi tersebut juga mestilah memberi nilai terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan,” menurut kenyataan itu.

MKN berkata, kerajaan kekal komited memastikan semua pihak yang terlibat terus menambah baik perkhidmatan kepada rakyat supaya ia selamat dan boleh dipercayai.

Pada 20 Ogos lalu, NexG Bhd dilaporkan menilai anak syarikat milik penuhnya, DTSB, pada kira-kira RM7.5 bilion selepas menerima permintaan kerajaan untuk mengemukakan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan syarikat itu.

DTSB merupakan penyedia MyKad dan sejak 2012 menjadi vendor pasport Malaysia yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

DTSB kini turut memegang mandat bagi MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA dengan komitmen bekalan untuk beberapa tahun.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here