Usahawan perlu bantuan untuk perniagaan diseru datang ke NADI – Steven Sim

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyeru usahawan yang memerlukan bantuan berkaitan pinjaman, lesen atau program kerajaan disaran merujuk kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terdekat berbanding menemui wakil rakyat.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, perkhidmatan baharu Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) di 222 pusat NADI di seluruh negara akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi perniagaan kecil, peniaga dan penjaja yang mencari maklumat atau bantuan.

STEVEN Sim Chee Keong (tengah) merasmikan PRIME 2026 dan buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun Insken di Pusat NADI Machang Bubok, Bukit Mertajam hari ini,. GAMBAR: Insken

“Kamu fokus sahaja berniaga. Jika ada sebarang pertanyaan, datanglah ke NADI dan tanya pegawai kami,” katanya selepas melancarkan PRIME 2026 dan buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun Insken di Pusat NADI Machang Bubok, Bukit Mertajam hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken), Datuk Mustaffa Kamil Ayub dan Timbalan Pengarah Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar.

Steven berkata, usahawan boleh memanfaatkan pusat tersebut untuk mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan, pelesenan, latihan, pendigitalan serta pelbagai bentuk bantuan kerajaan lain tanpa perlu berurusan dengan pelbagai agensi berbeza.

“Jadi, datanglah ke 222 pusat NADI. Kami ada pegawai terlatih untuk jawab soalan kamu, terutamanya mengenai permohohan daripada usahawan dan perniagaan kecil,” katanya.

PRIME merupakan inisiatif diterajui Insken dengan kerjasama strategik MCMC, bermatlamat menjadikan pusat NADI sebagai pusat rujukan sehenti pada peringkat komuniti untuk usahawan.

MCMC menyediakan rangkaian dan kemudahan NADI di seluruh negara, manakala Insken menyumbang kepakaran pembangunan keusahawanan serta latihan kepada pegawai NADI yang akan bertindak sebagai petugas barisan hadapan PRIME.

Steven berkata, kerajaan menyasarkan antara 30,000 dan 50,000 usahawan akan memanfaatkan perkhidmatan PRIME menjelang akhir tahun ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here