AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sesuatu yang normal dalam politik negara.
Wakil rakyat PKR itu berkata, jika BN boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PH menumbangkan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tiada sebab BN tidak boleh berpakat dengan PN untuk cuba merampas Negeri Sembilan daripada PH.
“Jadi, tak hairan. PH tidak boleh merungut dan mengeluh. PH juga selepas PRU 2008 mengatur strategi bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan BN yang mendapat mandat rakyat.
“Saya dah tua, saya menyaksikan itu semua walaupun saya seorang Ahli Parlimen PKR yang setia,” katanya, lapor FMT.
Beliau mengulas kritikan terhadap keputusan BN dan PN bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan dengan masing-masing meletakkan calon di 25 serta 11 kerusi daripada 36 DUN.
Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini menggesa semua menteri dan timbalan menteri BN meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan kerjasama terbuka parti itu dengan PN.
Gabungan sayap Pemuda PH itu mendakwa perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar BN dalam Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama itu sebagai medan menguji formula penyatuan Melayu dan Islam yang berpotensi menjadi asas jajaran politik baharu menjelang PRU-16.
Kata Timbalan Perdana Menteri itu, kepimpinan menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon BN dan PN dengan menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai peluang untuk ‘membetulkan keadaan’ di peringkat negeri sebelum diterjemahkan pada skala nasional.
Sementara itu, Hassan berkata, politik Malaysia sememangnya dipenuhi pakatan dan percaturan yang berubah mengikut keadaan.
“Hampir semua parti politik di Malaysia ada rekod mengkhianati antara satu sama lain. Politik itu bengkang-bengkok, yang lurus itu hanya dakwah sahaja.
“Core business parti politik adalah mendapatkan kuasa. Ahli politik yang jujur, lurus dan berprinsip tidak sesuai dalam ekosistem politik Malaysia yang seumpama sangkar singa,” katanya yang memetik kata-kata penulis Indonesia Pramoedya Ananta Toer dalam novel Rumah Kaca.






