Kerjasama dengan China perlu diperluas pacu transformasi digital, inovasi – PM

KERJASAMA dengan China perlu diperluas bagi memacu transformasi digital dan inovasi, khususnya dalam meneroka potensi kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu termasuk memperkukuh kerangka tadbir urus AI serta mekanisme kawal selia bagi menangani risiko baharu yang timbul dalam ekosistem digital.

Beliau berkata, di sebalik ketidaktentuan landskap global, hubungan ASEAN-China bukan sahaja kekal utuh, malah terus berkembang dan diperkukuh dari semasa ke semasa.

Malaysia turut menghargai sokongan berterusan China terhadap prinsip kesepaduan ASEAN, mekanisme yang diterajui ASEAN serta Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Komitmen itu sekali gus mencerminkan aspirasi kedua-dua pihak untuk memastikan keamanan dan kemakmuran yang mampan.

“Melangkah ke hadapan, kerjasama dengan China perlu diperluas dalam memacu transformasi digital dan inovasi, khususnya dalam meneroka potensi kecerdasan buatan (AI). Usaha itu termasuk memperkukuh kerangka tadbir urus AI serta mekanisme kawal selia bagi menangani risiko baharu yang timbul dalam ekosistem digitall ,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di Manila, hari ini, lapor Buletin TV3.

Anwar turut mengalu-alukan kerjasama negara tembok besar itu dalam mengoptimumkan pelaksanaan peruntukan berkaitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), piawaian serta perlindungan persaingan dan pengguna susulan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

Dalam sidang sama, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pemindahan teknologi, pembangunan ekosistem perindustrian tempatan serta kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara Kuala Lumpur-Bejing.

Beliau berkata, elemen berkenaan adalah antara aspek penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan, khususnya dalam sektor semikonduktor, robotik, kenderaan elektrik dan pembuatan termaju.

Malaysia turut menegaskan kepentingan keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di ruang udara di atas Laut China Selatan menerusi rundingan berhubung Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang kini berada pada tahap kritikal.

Justeru, Malaysia sebagai pengerusi bersama China kekal komited untuk mengekalkan momentum positif rundingan berkenaan.

Tambahnya, komitmen politik yang diperbaharui daripada semua delegasi amat penting bagi memastikan matlamat bersama untuk menghasilkan COC yang berkesan dan substantif dapat direalisasikan.

Berhubung konflik di Asia Barat, Malaysia kekal teguh mengutuk segala kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, termasuk tindakan genosid di Gaza.

Malaysia juga terus menggesa penyelesaian yang adil dan aman serta menuntut supaya segala bentuk kekejaman dihentikan.

Sehubungan itu, Malaysia menghargai sumbangan China berjumlah AS$100 juta bagi membantu usaha bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here