Kerjasama, muafakat Jemaah Menteri masih di tahap terbaik – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerjasama dan muafakat dalam kalangan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhannya masih berada pada tahap baik, biarpun wujud pelbagai persepsi, terutama di media sosial.

Perdana Menteri berkata, selain kerja keras kumpulan pelaksana, kerjasama dalam kalangan anggota Kabinet menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kestabilan politik dan membolehkan kerajaan merancang hala tuju negara.

“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar yang jelas, politik yang stabil, kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.

“Tapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan boleh kita merencanakan untuk negara,” katanya, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan hubungan antara Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kian tegang sehingga menyebabkan mesyuarat Kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here