Peruntukan RM280 juta tanam semula sawit pekebun kecil bakal dibawa dalam Belanjawan – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, peruntukan RM280.03 juta bagi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 antara cadangan yang diangkat dalam merangka Belanjawan 2027 bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil.

Perdana Menteri memberitahu, perkara itu antara inisiatif utama yang sedang diteliti pihaknya bagi memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, ia termasuk manfaatnya yang memberi kesan rantaian positif kepada peniaga-peniaga kecil.

“Saya umumkan perkara yang telah dilaksanakan ini supaya kementerian tidak minta dana tambahan untuk belanjawan.

“Tapi saya juga nak tahu, kalau ada keperluan, walaupun ada kekangan, keutamaan kita yang pertama saya sebut pembasmian kemiskinan.

“Ini untuk peniaga-peniaga kecil. Dari warung ke restoran kecil, pekedai kecil. Kerana jumlahnya besar dan masalah mereka juga meningkat. Jadi oleh itu, saya tidak fikir kita harus abaikan,” katanya, lapor Buletin TV3.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, selain itu antara cadangan lain yang diutarakan termasuk Pemerkasaan Usahawan Hiliran Sektor Agrikomoditi dengan peruntukan RM17.05 juta serta Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi sebanyak RM28.57 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya turut meneliti cadangan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (JLPK) sebanyak RM100 juta.

Kerajaan juga kata beliau, bercadang meneruskan Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) bagi menyokong usaha penanaman semula sawit dalam kalangan pekebun kecil.

Secara keseluruhan, empat cadangan yang mempunyai jumlah peruntukan dinyatakan membabitkan RM425.65 juta.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here