POLIS sedang menyiasat kes khianat selepas sebuah kerusi plastik ditemukan terbakar dalam sebuah kelas di sebuah sekolah menengah di Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian disedari kira-kira jam 10.30 pagi oleh seorang pengawas sekolah yang sedang melakukan pemantauan kelas ketika waktu rehat.
Beliau berkata, pengawas terbabit terhidu bau asap sebelum membuat pemeriksaan di sebuah kelas dan mendapati sebuah kerusi plastik terbakar.
“Pengawas berkenaan kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada guru yang berada di kawasan sekitar dan kebakaran berjaya dipadamkan segera menggunakan kain basah,” katanya.
Mohamad Nazri berkata, siasatan di lokasi mendapati kebakaran berlaku di sebuah kelas yang terletak di hujung bangunan tiga tingkat sekolah berkenaan.
Katanya, tiada pelajar berada di blok itu ketika kejadian kerana mereka diarahkan menghadiri program kaunseling di dewan sekolah.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan setakat ini tiada saksi tampil serta tiada individu dikenal pasti sebagai suspek,” katanya.
Beliau berkata, pihak sekolah turut menjalankan siasatan dalaman namun gagal mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat untuk rujukan dan membantu siasatan lanjut,” katanya.
Mohamad Nazri berkata, kes disiasat sebagai khianat dan usaha mengesan individu yang terbabit sedang dijalankan.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial memuat naik hantaran memaklumkan menerima maklumat mengenai kes khianat di sebuah sekolah di Kampar, Perak.






