KUMPULAN Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) terus meneroka dan melaksanakan segala saluran bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburannya dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.
KWAP berkata, jumlah keseluruhan pelaburannya dalam eFishery adalah RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat berkenaan.
“KWAP merupakan pemegang saham minoriti, manakala majoriti saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain, termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut KWAP, kes eFishery secara keseluruhannya membabitkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat berkenaan.
Susulan pendedahan salah laku itu, KWAP melaksanakan semakan dalaman menyeluruh terhadap proses pelaburan, susunan pemantauan pascapelaburan serta maklumat yang tersedia sepanjang tempoh pelaburan terbabit.
“Tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabiliti KWAP,” katanya.
Dalam pada itu, KWAP berkata pihaknya terus memperkukuh pendekatan terhadap pelaburan pasaran swasta.
Langkah berkenaan merangkumi kepelbagaian portfolio lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana berpengalaman dan rakan kongsi strategik, pemantauan pascapelaburan yang dipertingkatkan serta pengawasan lebih rapi terhadap perkembangan material membabitkan syarikat portfolio.
KWAP berkata, dana kekal kukuh dan disokong portfolio yang merangkumi pelbagai kelas aset, sektor serta geografi.
“Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, KWAP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM8.33 bilion dengan jumlah dana di bawah pengurusan meningkat kepada RM195.26 bilion,” katanya.
KWAP menegaskan komitmennya untuk menguruskan dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan mandat berkanunnya bagi membantu kerajaan memenuhi obligasi pencen kepada pesara sektor awam.






