SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang bertugas sebagai pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), minggu lalu.
Mohd Khairudin Safi’ai, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu di sebuah unit di Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip memohon tarikh baharu bagi sebutan kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Memetik laporan media, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu, Allahyarham Norhazwani ditemukan maut di kediaman mereka di kuarters kakitangan awam berhampiran KLIA.
Suspek yang dipercayai baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah dikatakan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang sejurus kejadian.
Menurut polis, motif kejadian dipercayai berkaitan perselisihan rumah tangga selepas mangsa dikatakan meminta cerai daripada suspek. Permohonan perceraian itu difahamkan telah difailkan ketika lelaki berkenaan masih menjalani hukuman penjara.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher. Pemeriksaan turut menemukan kesan tikaman pada bahagian perut dan pipi mangsa.





