19 kru kapal korek pasir terselamat selepas jentera tenggelam

DETIK cemas di laut berakhir apabila kesemua 19 kru kapal korek pasir yang tenggelam kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam, dekat Ipoh, berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 pagi sebelum operasi SAR diaktifkan pada jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan aset APMM, iaitu KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238, dengan bantuan komuniti maritim di sekitar kawasan kejadian.

“Sembilan kru berjaya diselamatkan oleh kapal korek pasir MV YAODE 1 yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala sembilan lagi kru di dalam rakit penyelamat berjaya diselamatkan MV VIVO DIYA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua 18 kru itu dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan selanjutnya, manakala seorang lagi kru warga China yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, ditemukan selamat oleh Bot PERKASA 1238.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada jam 4.30 petang.

Dalam pada itu, Zainudin mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, termasuk memakai jaket keselamatan dengan betul serta memastikan semua peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik.

“Persediaan awal seperti ini amat penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang laporan, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerusi talian 011-3525 9919 bagi membolehkan tindakan segera diambil.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here