Kes bunuh pelajar Tingkatan 3: Mangsa ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman

Pelajar perempuan Tingkatan 3 yang ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemukan maut dalam tandas di sebuah  sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata, polis turut menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur buli. Mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali kerana belajar di sekolah yang sama walaupun tingkatan berlainan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shamsudin berkata polis menerima makluman pada 9.40 pagi selepas kejadian itu disedari seorang guru yang terdengar jeritan sebelum bergegas menuju ke tandas dan menjumpai mangsa.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok untuk permohonan reman, katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa yang dibawa keluar dari sekolah berkenaan pada kira-kira 12.55 tengah hari telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Shamsudin berkata pihak polis sedang merekodkan keterangan daripada saksi, termasuk rakan mangsa dan guru, untuk melengkapkan siasatan.

SEMENTARA ITU, Kementerian Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas  bagi memastikan semua aspek terkait kes tersebut dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyatakan suspek telah ditahan polis dan akan memberikan kerjasama penuh dalam proses siasatan yang sedang berjalan.

“KPM merakam ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal kerana ditikam. Semoga keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

“Pasukan kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan

 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img