POLIS menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) SAC Mohd Nasaruddin M Nasir di Bukit Kayu Hitam pada Rabu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penangkapan terbaru itu dilakukan hasil penahanan kumpulan pertama sebelum ini.
‘’Kedua-dua tangkapan terbaharu itu melibatkan lelaki berusia 51 dan 58 tahun yang kami kenalpasti melalui siasatan yang dijalankan tersebut,’’ katanya pada sidang media selepas melawat melawat pintu masuk AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua lelaki tersebut.
Saifuddin juga berkata susulan insiden tembakan itu, Mohd Nasaruddin telah memaklumkan polis bahawa beliau diekori individu tidak dikenali sebelum kejadian.
Saifuddin berkata Mohd Nasaruddin turut memberikan maklumat berkaitan fizikal dan perwatakan individu yang dipercayai mengekorinya sekali gus membantu polis membuat pemprofilan sebelum menahan kedua-dua suspek.
Sebelum ini, polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita Thailand berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis pada hari yang sama selepas kejadian.
Insiden itu menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin Bukit Kayu Hitam kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.


