Penganggur mengaku tidak bersalah tikam isteri, cederakan ibu mentua

SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas dua pertuduhan menikam isterinya menggunakan pisau sehingga cedera parah dan mencederakan ibu mentuanya, minggu lalu.

Tertuduh, Shahrul Shahrizal Che Shaari, 44, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah dan Nik Habri Muhamad, lapor BH.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menikam isterinya, Zulaiha Mat Zain, 44, sehingga mengalami kecederaan parah di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Padang Lepai, Ketereh, kira-kira jam 8.30 malam, Isnin lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencederakan ibu mentuanya, Paridah Ismail, 78, menggunakan pisau di lokasi dan masa sama, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli dan Siti Arina Razali, manakala tertuduh diwakili peguam Zainal Abidin Mustaffa. Keluarga mangsa turut melantik Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad sebagai peguam pemerhati.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan. Peguam tertuduh juga memohon supaya jaminan tidak diberikan, sebaliknya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan dan rawatan.

Zainal Abidin berkata, keluarga tertuduh dikhuatiri tidak mampu mengawalnya kerana disyaki mempunyai masalah mental. Beliau turut memaklumkan anak guamnya pernah menyatakan hasrat untuk mencederakan diri sendiri kira-kira dua minggu sebelum kejadian.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, selama sebulan bagi menjalani pemeriksaan psikiatri. Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 18 November ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang jururawat berusia 44 tahun parah selepas ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, pada 5 Oktober lalu.

Mangsa mengalami kecederaan di badan dan leher serta menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Susulan kejadian itu, tertuduh menyerah diri kepada polis.

Mahkamah Tinggi Syariah semalam turut mengesahkan perceraian secara taklik membabitkan pasangan itu selepas tertuduh melanggar lafaz taklik berikutan kejadian berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here