KESELAMATAN anggota penguat kuasa yang menjalankan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam perlu sentiasa diberi perhatian dan dilindungi daripada sebarang ancaman keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang bentuk jenayah dan keganasan terhadap anggota keselamatan yang sedang menjalankan amanah melindungi rakyat tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan jenayah tanpa mengira latar belakang mereka demi mempertahankan kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu dibuat susulan insiden seorang anggota polis cedera parah selepas diserang lelaki bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar turut mengecam keras kejadian berkenaan selain mendoakan supaya anggota polis terbabit segera diberikan kesembuhan.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas,” katanya.
Dalam kejadian itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun dilaporkan putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak suspek menggunakan parang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, mangsa turut mengalami beberapa kecederaan pada kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan awal.
Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya yang terputus.





