KESELAMATAN dan perlindungan di pangkalan MALBATT 850-13 di Selatan Lubnan dipertingkatkan serta-merta di tahap amaran tertinggi (Status Level Red) susulan insiden serangan mortar di kawasan penugasan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sektor Timur, kelmarin.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM dalam satu kenyataan berkata, seluruh pergerakan rondaan sudah digantung sementara waktu.
‘’Pasukan kini beroperasi di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti yang digariskan oleh Markas Pasukan Interim PGSDHG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB), memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi buat setiap perajurit negara yang sedang menggalas mandat di zon konflik,” kata markas itu.
Menurut Markas ATM, kejadian di kem UNP 7-2 yang diduduki Spanish Battalion (SPANBATT) pada jam 11.20 malam waktu tempatan itu tidak melibatkan anggota MALBATT.
Bagaimanapun, menurut markas berkenaan, serangan berkenaan menyebabkan tiga anggota SPANBATT cedera manakala seorang daripada mereka meninggal dunia pada keesokan harinya.
“ATM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira SPANBATT yang gugur dan mendoakan kesembuhan segera buat anggota yang tercedera.
“ATM menegaskan pendirian mutlak bahawa sebarang bentuk serangan, termasuk tembakan tidak langsung (indirect fire) ke atas pasukan pengaman, adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC),” kata kenyataan itu..
Semalam media antarabangsa melaporkan, seorang anggota pengaman yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terbunuh manakala dua lagi cedera selepas peluru mortar mengenai kedudukan mereka di selatan Lubnan.


