PRN: BN, PH bergerak solo, hubungan Kerajaan Perpaduan kekal utuh – Fahmi

HUBUNGAN kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal utuh dan tidak terjejas walaupun Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bergerak secara berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada pagi hari ini berjalan seperti biasa dalam suasana harmoni serta saling menghormati antara semua anggota Kabinet.

Menurut beliau, keputusan melibatkan strategi politik di peringkat negeri tidak memberi kesan kepada kerjasama yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Tidak ada kesan terhadap Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan dan mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi berjalan lancar seperti biasa dalam suasana mahabbah serta saling menghormati.

“Hubungan erat dalam kalangan pimpinan kerajaan Persekutuan juga tidak terjejas,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan BN dan PH yang memilih untuk bertanding secara solo pada PRN akan datang.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan negara dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa dipengaruhi perbezaan strategi politik di peringkat negeri.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu, selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img