Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbirannya sehingga menyebabkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bertindak menghukum FAM dan tujuh pemain warisan.
Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman berkata, FAM mengambil serius perkara ini tetapi menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.
Sehubungan itu dalam kenyataan malam ini, Nor Azman berkata, pihaknya akan menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Fifa sebelum mengemukakan rayuan.
Rayuan itu akan dikemukakan mengikut proses dan saluran undang-undang sedia ada,” katanya pada kenyataan di Facebook hari ini.
BACA JUGA : https://utusanmelayuplus.com/category/rencana/suara-awang-selamat/
Kelmarin, FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.


