
PADA Rabu lalu, mungkin buat pertama kali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada tegas menyatakan beliau sudah sampai hilang kesabaran terhadap tahap rasuah yang melanda agensi-agensi penguat kuasa.
Justeru beliau memberi amaran bahawa kerajaan tidak lagi boleh bertolak-ansur dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus yang tidak ditangani dengan serius dan menegaskan Malaysia perlu diselamatkan daripada pelbagai kegiatan yang merosakkan integriti pasukan penguatkuasaan dan menjejaskan ekonomi negara.
Sememangnya Anwar berhak berasa marah, geram, kecewa atau kesal. Ini disebabkan gejala rasuah melibatkan agensi penguat kuasa bukanlah perkara baru malah sudah berakar umbi. Kalau pokok ubi kayu…ubi sudah menjadi kayu, kalau ia penyakit pada tubuh manusia…manusia itu sudah jadi ‘mayat hidup’.
Satu demi satu kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan tiada ada agensi penguat kuasa yang terselamat daripada gejala itu. Ada sahaja kuasa pasti ada yang akan berusaha ‘mengkayakan’kehidupan mereka dengan menjamah wang haram!
Usah bercakap soal rakyat, usah berbicara soal negara bagi puak-puak yang melakukan jenayah itu apa yang penting ialah mereka hidup senang, menyuap anak isteri dengan wang haram, memberi nafkah kepada ibu bapa dengan wang kotor dan hidup selesa dengan hartabenda yang bakal menjadi ‘bahan api neraka’!
“Saya sudah sampai ke tahap hilang kesabaran dan merasakan masih ada kelemahan dan ruang yang wajib diperbaiki. Kita nak selamatkan negara ini. Negara ini punya potensi yang sangat baik. Rakyat umumnya mengharap dan dahaga satu pembaharuan dan pembelaan,” kata Perdana Menteri.
Hakikatnya, ia bukan kelemahan tetapi gejala rasuah yang berlaku disebabkan sikap manusia. Buatlah sebaik manapun sistem, gubal lah 1001 pun undang-undang atau peraturan tetapi selagi sikap manusia yang mahu melihat kuasa di tangan adalah peluang, kedudukan adalah ruang untuk hidup mewah selagi itulah rasuah tidak akan dapat dihapuskan.
Justeru ketegasan Anwar yang mahu rasuah dihapuskan dalam kalangan agensi penguat kuasa adalah tepat dan wajar dilakukan oleh bersungguh-sungguh. Apa yang penting ialah melantik mereka yang benar-benar berwibawa dan berintegriti bagi menduduki jawatan penting dan strategik dalam agensi tersebut.
Golongan, kelompok atau individu ini pasti ada. Begitu juga masih ada beribu-ribu pegawai atau anggota yang bersih dan bekerja dengan niat mencari nafkah secara halal.
Percayalah apabila rasuah bermaharajalela, apabila kartel sudah menguasai kepimpinan atau pengurusan mana-mana kementerian, jabatan atau agensi penguat kuasa, apapun usaha membanteras rasuah apatah lagi menghapuskan jenayah itu hanya sekadar mimpi.
“Genap tiga tahun saya mengemudi, saya merasakan ada ruang, kelompongan yang mesti diperbaiki. Kelemahan tidak boleh dibiarkan, baik dari segi pencerobohan, penyeludupan atau bertolak-ansur dengan kegiatan gelap yang masih berlaku, dan ada kalanya dengan ruang dan keizinan badan penguat kuasa,” kata Anwar.
Betul kata Perdana Menteri tetapi sekali lagi bukan soal kelemahan atau tolak ansur tetapi kerana dalam agensi penguat kuasa ada ‘orang tengah’, ada ‘balaci, ada ‘pak turut’ kepada kartel-kartel malah dalam agensi tersebut juga ada pengkhianat yang yang bersubahat,bersekongkol dengan sindiket.
Apabila amalan rasuah dilakukan orang atasan dalam sesuatu agensi penguat kuasa, ia bagaikan melahirkan ‘keturunan perasuah’ dalam agensi berkenaan. Sebab itulah sampai ke hari ini gejala itu tidak boleh dihapuskan sebab entah berapa ‘keturunan’ sudah dilahirkan, walaupun mereka dalam kelompok yang kecil.
Disebabkan rasuah di pihak atasanlah, ia merebak ke peringkat bawah kerana masing-masing merasakan, ‘’kalau kau boleh tak kan aku tak boleh’’ atau dengan ‘ayat bisikan syaitan’….’’ aku ambik sikit saja , bos aku ambik lagi banyak..ok saja’’
Tetapi itu bukan bermakna kerajaan harus berputus asa, atas sebab itulah Anwar menegaskan, kelemahan dalam penguatkuasaan tidak boleh terus ditoleransi kerana ia menjejaskan usaha pembaharuan yang diharapkan rakyat.
Oleh itu diharapkan melalui tekad yang zahir oleh Perdana Menteri, usaha membanteras rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan tidak kira di manapun Kementerian, agensi, jabatan atau agensi penguat kuasa harus dilaksanakan secara habis-habisan.
Kepada ketua-ketua jabatan, pegawai, kakitangan dan anggota perlu ingat, sudah berapa ramai sudah hilang pekerjaan ketika dalam perkhidmatan akibat rasuah dan berapa ramai yang diseret kepada mahkamah selepas bersara.
Oleh itu bekerjalah dengan jujur, ikhlas dan amanah supaya ‘tidak bergaya dengan baju oren’ ketika masih dalam perkhidmatan atau hidup gelisah setelah bersara akibat ‘Semasa Persaraan Rasuah Memburu’ – (SPRM).


