KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) menegaskan pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, pemantauan bekalan dilaksanakan secara menyeluruh di 11 kawasan Parlimen di ibu negara bagi memastikan rantaian bekalan terus stabil.
“Selain itu, KPDN WPKL turut melantik dan memantau beberapa Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran.
“KPDN WPKL juga melaksanakan sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel adalah mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan utama seperti lebuh raya dan pusat bandar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, pemantauan barangan kawalan melalui Ops Tiris 4.0 akan diperkukuhkan bagi mengekang aktiviti penyelewengan.
“Seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDN WPKL telah digerakkan untuk memantau keberadaan bekalan dan harga di seluruh pelusuk Kuala Lumpur secara berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.
Menurut beliau, sebarang aduan berkaitan bekalan boleh disalurkan melalui pelbagai saluran rasmi KPDN, termasuk portal e-aduan, talian hotline dan aplikasi mudah alih kementerian.
KPDN WPKL komited untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi dan stabil demi kesejahteraan rakyat.


