AKSI berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang selamba memandu sambil meriba seorang wanita mengundang padah apabila kini diburu polis selepas videonya tular di media sosial sejak semalam.
Kejadian dipercayai berlaku pada 12 April lalu kira-kira jam 7.30 malam di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, rakaman video berkenaan dikesan pihaknya pada jam 5.30 petang semalam sebelum siasatan lanjut segera dijalankan.
“Perbuatan pemandu itu sangat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan dan mengganggu tumpuan, malah boleh membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, polis menggesa pemandu bas terbabit bersama wanita yang dirakam tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


