Kor Ming cadang letak jawatan beramai-ramai, Anthony `pujuk’ untuk kekal

MESYUARAT tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam dilaporkan hangat apabila timbul cadangan supaya kesemua menteri dan timbalan menteri parti itu melepaskan jawatan secara serentak bersama Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Memetik laporan akhbar Oriental Daily, sumber dalaman mendedahkan bahawa Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming serta Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo antara yang menyatakan hasrat untuk mengambil langkah solidariti dengan meletakkan jawatan masing-masing.

“Idea meletak jawatan beramai-ramai sememangnya timbul dalam mesyuarat tergempar CEC DAP. Kor Ming ketika itu mencadangkan supaya mereka meletak jawatan bersama-sama. Katanya tak masuk akal kalau Setiausaha Agung sahaja letak jawatan, bagaimana pula dengan yang lain?,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, perbincangan menemui jalan buntu apabila sebahagian besar ahli CEC bersetuju dengan pendirian ‘sama ada semua letak jawatan atau semua kekal’ demi kebersamaan parti.

Walau bagaimanapun, Anthony kekal berpendirian tegas dan bertindak meyakinkan ahli mesyuarat mengenai sebab utama beliau perlu melepaskan portfolionya sebagai Menteri Pengangkutan, manakala pemimpin DAP yang lain wajib kekal berada dalam Kabinet.

“Anthony akhirnya berjaya meyakinkan semua pihak bahawa jika seseorang perlu tampil mewakili pendirian parti, individu tersebut mestilah pemimpin tertinggi parti iaitu beliau sendiri selaku Setiausaha Agung DAP.

“Kalau Anthony letak jawatan kemudian Kor Ming dan Gobind Singh pula ikut, selepas itu Hannah Yeoh juga, ia sudah jadi peletakan jawatan beramai-ramai,” jelas sumber itu sambil menambah parti perlu mengelakkan risiko pembubaran Parlimen atau ketidakstabilan politik negara.

Hasil daripada pujukan dan ketegasan Anthony, CEC DAP secara sebulat suara bersetuju supaya pimpinan parti yang lain meneruskan khidmat dalam Kerajaan Perpaduan demi mempertahankan kestabilan pentadbiran bertunjangkan Pakatan Harapan (PH).

Langkah itu sekali gus menyaksikan Kor Ming, yang kini menjawat jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kekal di portfolionya meskipun berdepan desakan serta tekanan politik daripada pelbagai pihak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here