KPDN Perak tumpaskan kegiatan seleweng diesel, rampasan lebih RM56,000

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel selepas merampas 5,070 liter bahan api bernilai lebih RM56,000 dalam operasi di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar di Manjung semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dijalankan menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Jeriji dengan kerjasama Pasukan Polis Marin melibatkan premis perniagaan kayu dan perkakasan.

ANGOTA KPDN memeriksa tangki digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel dalam serbuan di sebuah pusat transit di Ayer Tawar, Manjung Perak semalam. GAMBAR: KPDN Perak

Menurutnya, hasil risikan mendapati, premis tersebut digunakan sebagai pusat transit pengumpulan diesel secara tidak sah.

“Ketika serbuan, seorang lelaki tempatan dikesan sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki jenis IBC (Intermediate Bulk Container).

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang bagi menampung muatan diesel dalam kuantiti besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penguat kuasa turut menemukan lapan invois pembelian yang menunjukkan suspek membuat pembelian berulang di stesen minyak sama di Sitiawan bagi mengumpul stok.

“Bekalan tersebut kemudian disimpan di stor sebelum dijual semula kepada pasaran industri,” katanya.

Kamalludin berkata, selain diesel, KPDN turut menyita pelbagai barangan antaranya sebuah lori tiga tan, satu skid tank, dua tangki IBC, dua pam elektrik, satu tangki fiber serta empat unit hos dengan nilai rampasan berjumlah RM56,371.40.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Siasatan akan dijalankan terhadap stesen minyak yang disyaki terlibat termasuk kemungkinan pembatalan lesen Controlled Supply Act (CSA) runcit sekiranya didapati bersalah,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img