KPDN Selangor guna kod QR pantau stesen minyak, pemborong bahan api

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkasakan pemantauan di stesen minyak serta syarikat pemborong bahan api melalui penggunaan sistem imbasan kod QR bagi merekod pemeriksaan secara masa nyata.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan pewartaan Peraturan Kawalan Bekalan, Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan RON95 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Menurut beliau, pemeriksaan giat dijalankan menerusi Ops Tiris 4.0 di seluruh negeri membabitkan pejabat KPDN Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.

“Pelekat kod QR ditampal di stesen minyak yang diberi tumpuan utama dalam Ops Tiris 4.0 dan setiap anggota pemeriksa akan merekodkan hasil pemeriksaan melalui sistem itu.

“Data pemeriksaan kemudian dipantau secara masa nyata oleh pasukan di pejabat bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang isu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KPDN Selangor kini memantau 809 stesen minyak aktif serta 79 syarikat pemborong diesel di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pemeriksaan tertumpu kepada pematuhan larangan pembelian RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing, dokumen lesen barang kawalan, status mesin pam, pemeriksaan tangki simpanan bahan api serta aktiviti pengisian ke dalam tong atau bekas.

Muhamad Hanif menegaskan KPDN Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan baharu berkaitan kawalan penjualan petrol RON95.

Dalam pada itu, orang ramai diminta tidak mencetuskan panik ketika membeli bahan api dan menyalurkan sebarang maklumat salah laku melalui saluran aduan rasmi KPDN.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img