PEMANDU Proton Satria yang tular selepas terbabit dalam kemalangan ketika berlumba di Persiaran Senawang 1 pada Julai tahun lalu dihukum penjara tujuh hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.
Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu terhadap Iskandar Abd. Aris, 21, selepas prosiding laporan sosial serta fakta dan hukuman selesai dijalankan.
Tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penggantungan lesen memandu tertuduh selama lima tahun dari tarikh sabitan.
Keputusan itu dibuat meskipun Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum ini mencadangkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 24 bulan.
Pendakwaan berhujah tertuduh yang berusia 19 tahun ketika kejadian sudah cukup matang untuk memahami risiko perbuatannya yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Dalam kejadian pada Julai tahun lalu, Proton Satria dipandu tertuduh terbalik sebelum merempuh sebuah Perodua Axia, menyebabkan seorang penumpang wanita berusia 18 tahun parah manakala tertuduh hanya cedera ringan.


