KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menyita 4,450 liter diesel yang disimpan tanpa permit di sebuah premis di kawasan bekas kilang, Kawasan Industri Teluk Kalong, Kemaman, semalam.
Rampasan dilakukan dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi selepas pihak penguat kuasa menemui bahan api itu di dalam lima tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC).
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pihaknya turut menyita sebuah pam yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan bahan petroleum berkenaan.
Menurutnya, semakan awal mendapati diesel itu dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pemborong dari Kedah.
Beliau berkata, bahan api berkenaan dipercayai digunakan untuk menggerakkan jentera berat termasuk kren dan mesin pemotong besi bagi kerja melupuskan bangunan lama di lokasi itu sejak seminggu lalu.
“Seorang lelaki dipercayai penyelia tapak gagal mengemukakan permit atau kebenaran Pengawal Bekalan bagi membolehkan penyimpanan diesel dalam kuantiti berkenaan.
“Kita masih menyiasat pemilikan diesel, pihak bertanggungjawab terhadap penyimpanannya serta pemilik tapak dan mereka akan dipanggil untuk memberikan keterangan.
“Keseluruhan barang yang disita dianggarkan bernilai RM20,470, membabitkan lima tangki IBC berisi diesel dan sebuah pam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Terengganu merekodkan 36 tindakan kes hasil 3,490 pemeriksaan premis menerusi Ops Tiris sejak Januari hingga 19 November lalu.
Operasi itu turut menghasilkan rampasan barang kawalan berjadual bernilai RM635,274.93 serta 14 tangkapan.





