KPT serah kepada UM siasat teater pelajar tidak senonoh

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada Universiti Malaya (UM) untuk mengambil tindakan berhubung produksi teater pelajar yang didakwa mempamerkan babak tidak senonoh dan melanggar garis panduan skrip asal.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, pihaknya sudah menerima laporan rasmi daripada UM dan yakin universiti itu mampu mengendalikan isu berkenaan secara telus.

Menurutnya, insiden tersebut dipercayai berlaku tanpa niat buruk, sebaliknya berpunca daripada kekhilafan pelajar yang terlalu teruja menonjolkan nilai seni hingga terlepas pandang sensitiviti budaya tempatan.

“Saya kira ia lebih kepada kekhilafan. Pelajar mungkin terlalu teruja untuk mempamerkan seni sehingga terkhilaf dari segi penjagaan sensitiviti.

“Apa juga yang dilakukan, pihak universiti perlu sentiasa peka dan mendampingi pelajar. Apabila anak muda berkarya, kadang-kadang mereka teruja dan tiada niat untuk melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara KPT dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Azlinda turut menasihatkan institusi pengajian tinggi agar lebih proaktif membimbing pelajar dalam berkarya supaya kreativiti yang dihasilkan selari dengan nilai budaya ketimuran.

Terdahulu, persembahan teater di UM mencetuskan polemik selepas video adegan intim tular di media sosial.

UM dalam kenyataan menegaskan adegan itu tidak selaras dengan skrip asal yang diluluskan dan merupakan pelanggaran syarat pertandingan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img