PISA 2025: Kualiti pendidikan negara belum capai tahap boleh dibanggakan

KITA  sudah pun mendengar keputusan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 dan ia  nampaknya memberikan pelbagai perspektif kepada pencapaian negara kita.

Saya mahu berkongsi  pandangan berkaitan PISA kerana ia  salah satu perkara yang harus diteliti untuk mengetahui di mana kedudukan kita dalam pendidikan di peringkat global.

Pertama sekali, kita harus ingat PISA mula menjadi hasrat ataupun matlamat kita pada tahun 2009-2010.

Apabila kita merancang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, salah satu daripada hasrat atau aspirasi kita adalah untuk meletakkan sistem pendidikan Malaysia berada di sepertiga teratas dalam kelompok senarai negara-negara yang mengambil PISA.

Kalau kita ambil mudah secara nilainya, adalah sekurang-kurangnya berada di sekitar angka 25 teratas.

Dalam PPPM  kita telah mengeluarkan pelbagai usaha, idea. Kita telah membelanjakan ratusan juta ringgit sepanjang 2012-2013 hinggalah 2026 untuk memastikan berada antara negara terbaik di dunia dalam pendidikan.

Malangnya, kalau lihat  PISA diumumkan pada 2025, nampaknya kedudukan kita belum pun berada di sepertiga teratas, malah sebenarnya masih berada di sepertiga terbawah dalam senarai negara-negara yang menyertai PISA. Ia tentulah sesuatu membimbangkan kerana secara langsung menunjukkan kualiti pendidikan negara  ini belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Apa yang kita harus faham adalah PPPM  tamat pada 2025. Di dalam PPPM  dinyatakan bahawa 15 tahun selepas PPPM dilancarkan iaitu pada 2013, Malaysia akan menjadi negara sepertiga teratas. Maksudnya tahun hadapan, kita sepatutnya berada di keudukan itu, malangnya keputusan PISA 2025 menunjukkan kita gagal.

Pertamanya, kita gagal dalam perancangan PPPM 2013-2025 untuk meletakkan negara berada di sepertiga teratas.  Keduanya, dalam manifesto parti yang berjaya membentuk kerajaan  menyatakan bahawa reformasi pendidikan bermula 2018, kemudiannya diteruskan sehinggalah ke hari ini.

Kalau lihat tempoh  2018 sehingga 2025 kita sudah menghabiskan lapan tahun untuk menjayakan reformasi itu tetapi apa yang berlaku ia belum mencapai tahap memuaskan.

Lebih memburukkan keadaan, kalau dibandingkan PISA 2025 dengan PISA 2022, didapati bahawa walaupun acap kali kita mendengar istilah reformasi, istilah untuk menjayakan pendidikan, tetapi dari sisi skor, misalnya bagi Sains dan juga Bacaan, meningkat hanya tiga mata sahaja.

Dari 2022 sehingga 2025, tiga mata untuk Sains dan lima mata untuk Bacaan. Peningkatan tiga mata ini menunjukkan tidak ada perubahan signifikan. Ia terlalu kecil untuk dikatakan satu peningkatan yang boleh kita banggakan. Maksudnya kekal dalam aras seperti 2022.

Yang merisaukan, antara tahun 2022 hingga 2025 prestasi pendidikan negara kita tidak begitu meyakinkan.

Pada tahun 2022 apabila COVID melanda, sekolah ditutup,  akibatnya pencapaian PISA Malaysia merudum berbanding 2018. Itu kita boleh terima. Bagaimanapun selepas tiga tahun wabak itu, kebanyakan sistem sama ada ekonomi dan sebagainya telah pulih tetapi pendidikan belum pulih.

Oleh itu dalam tempoh tiga tahun ini, apa yang sebenarnya kita lakukan untuk menambah baik kualiti pencapaian pelajar dalam Sains, Matematik dan  Bacaan? Lebih membimbangkan prestasi Matematik merudum, jauh lebih teruk berbanding 2022. Bayangkan, prestasi Matematik merosot atau lebih rendah berbanding ketika Covid.

Ia sukar diterima. Bagaimana mungkin ketika COVID kita berada di dalam keadaan yang sangat sukar. Tetapi selepas COVID, walaupun keadaannya semakin baik, semakin pulih, sekolah telah dibuka sepenuhnya, pencapaian Matematik anak-anak kita menjadi semakin buruk. Pada saya , ini tidak masuk akal.

Logiknya, mengapa waktu kita sukar, pencapaian kita lebih baik daripada waktu kita berada dalam keadaan normal? Kalau lihat negara-negara seperti Thailand,  Filipina,  Vietnam, kebanyakan mereka melebihi 20 mata. Kita meningkat tiga mata (Sains), lima mata (Bacaan), merosot Matematik 11 mata.

Filipina antara contoh terbaik, negara itu berjaya mencapai pencapaian sangat tinggi, melebihi 20 mata untuk semua domain iaitu Bacaan, Matematik dan Sains.

Mengapa negara seperti Filipina, Thailand, Vietnam, Brunei dan Singapura, boleh berada pada tahap lebih baik berbanding kita? Di mana kelemahan negara kita yang menyebabkan pencapaian dianggap tidak signifikan ?

Soalan-soalan antara tahun 2022 hingga tahun 2025 tidak ada perubahan, sebenarnya kualiti pencapaian pelajar  kita di dalam Bacaan , Sains dan  Matematik merudum lebih teruk daripada sewaktu COVID. Boleh saya katakan bahawa negara-negara berkenaan berjaya merancang dan pulih sepenuhnya daripada COVID.

Mereka mengikut pimpinan pendidikan yang melaksanakan perubahan, peningkatan secara berkesan berbanding dengan negara kita.

Seperkata lagi, kalau anak-anak kita mempunyai tahap curiosity yang tinggi, kalau anak-anak kita ini dibantu begitu baik oleh guru-guru dan anak-anak kita mempunyai daya tahan yang tinggi, kenapa  semua itu tidak selari dengan keputusan PISA? Kenapa ia tidak diterjemahkan di dalam bentuk pencapaian sepertimana Jepun, misalnya.

Dari segi skor PISA, curiosity mereka lebih rendah. Tetapi dari segi Sains, Matematik dan Bacaan mereka jauh lebih tinggi daripada kita. Ia bermakna walaupun curiosity mereka rendah, skor untuk ingin tahu itu rendah, tetapi mereka berjaya mencapai tahap skor untuk Matematik, Sains dan juga Bacaan yang lebih tinggi daripada negara kita.

Negara kita mempunyai kononnya tahap curiosity yang tinggi, bantuan daripada guru-guru, sokongan daripada guru-guru yang tinggi. Tetapi skornya rendah maknanya ada sesuatu yang tidak beres.

Selanjutnya, yang saya rasa penting ialah skor PISA menunjukkan di Malaysia, dari segi sokongan ibu bapa kepada pembelajaran anak-anak mereka semakin merosot. Ini menimbulkan tanda tanya kepada kita.

Apakah yang boleh menyebabkan kemerosotan itu berlaku? Mungkin kerana ibu bapa tidak percaya dengan sistem pendidikan, maka mereka tidak lagi begitu menyokong pembelajaran anak-anak ataumungkin juga kerana pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3 itu sendiri telah mendorong ibu bapa semakin tidak jelas bagaimana mereka mahu menyokong pendidikan dan pembelajaran anak-anak mereka.

Jadi saya tinggalkan persoalan itu untuk kita kongsikan pandangan. Kritikan dan juga pandangan yang mungkin berbeza bukanlah sesuatu membawa keburukan sebaliknya ia berniat untuk menjadikan sistem pendidikan kita menjadi lebih baik..

*Dr. Anuar Ahmad adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here