PASUKAN penyelamat meneruskan operasi mencari sebuah bot laju yang dilaporkan hilang dan membawa lapan orang, termasuk lima wartawan yang ditugaskan membuat liputan mengenai letusan gunung berapi, menurut Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia.
Kumpulan berkenaan bertolak menaiki bot laju dari kawasan di barat Jakarta pada petang Isnin, namun anak kapal terputus hubungan dengan pemilik bot tidak lama selepas berlepas, kata agensi itu.
Lima wartawan Indonesia itu ditugaskan untuk merakam foto dan video letusan Gunung Anak Krakatau, yang sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa lapangan terbang lumpuh dan menyelubungi beberapa bandar termasuk Jakarta dengan abu gunung berapi.
Agensi pemantauan gunung berapi melaporkan Gunung Anak Krakatau meletus sebanyak tiga kali pada Selasa, dengan letusan terbaharu berlaku pada 7.49 pagi waktu tempatan (12.49 tengah hari waktu Malaysia). Mereka turut ditemani dua kru bot dan seorang pemandu.
Operasi mencari mangsa dilancarkan pada petang Selasa tetapi dihentikan beberapa jam kemudian akibat ombak besar dan jarak penglihatan yang rendah.
Hari ini kawasan pencarian diperluaskan. Operasi itu membabitkan puluhan anggota penyelamat termasuk polis, tentera, nelayan dan sukarelawan, menurut Basarnas dalam satu kenyataan.
“Pasukan carian dan menyelamat bersama akan meneruskan pencarian dengan mengoptimumkan semua anggota, kemudahan dan peralatan yang ada,” kata Basarnas.
Agensi itu turut mengerahkan bot berkelajuan tinggi untuk operasi mencari dan menyelamat, bot kembung serta dron termal.
Lima wartawan terbabit bekerja dengan media tempatan dan antarabangsa, termasuk agensi berita negara Indonesia, Antara; agensi berita rasmi Turkiye, Anadolu; serta laman berita tempatan iNews.
Menurut agensi penyelamat, salah seorang wartawan berkenaan sempat menghubungi seorang rakan sekerja dan berkongsi lokasinya pada kira-kira jam 3 petang Isnin. Namun, tiada lagi berita diterima daripadanya sejak itu.
Anak Krakatau, yang bermaksud “anak Krakatau”, mula muncul kira-kira satu abad lalu di kawasan yang sebelum ini diduduki Gunung Krakatau, atau Krakatoa.
Gunung berapi Krakatau meletup secara dahsyat pada 1883 sehingga memusnahkan sebahagian besar dirinya sendiri dan mengorbankan lebih 36,000 orang selepas mencetuskan siri tsunami.





