Larangan Waze: Keselamatan negara lebih utama – Anwar

KERAJAAN tidak boleh mengambil mudah soal keselamatan maklumat negara sehingga membenarkan penggunaan aplikasi navigasi Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan melarang penggunaan aplikasi itu dibuat selepas kerajaan meneliti perkara berkenaan secara terperinci, meskipun tindakan berkenaan mengundang kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai terburu-buru.

Anwar berkata, antara perkara yang menjadi pertimbangan kerajaan adalah lokasi ibu pejabat Waze di Israel serta persoalan berkaitan bidang kuasa undang-undang yang terpakai terhadap penggunaan aplikasi berkenaan.

“Pangkalan ibu pejabatnya itu di Israel, itu satu hal. Yang kedua, dalam perjanjian, saudara pakai Waze ada masalah, itu undang-undang yang menentukan itu undang-undang Israel.

“Dia tidak ada undang-undang negara lain. Itu yang menyebabkan mengapa saya ambil tindakan yang agak spontan. Tak boleh saya kata nak tangguh satu hari pun tak boleh.

“Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu. Saya kata, dah sah. Sebab kalau sudah gunakan Waze maknanya ia secara automatik menyerahkan semua maklumat kepada Israel, jadi kita jangan buat silap itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di Ampang hari ini, lapor Buletin TV3. Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, rakyat mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi navigasi lain yang lebih selamat, khususnya aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat tempatan.

Beliau mengakui keputusan itu mengundang kritikan, termasuk dakwaan kerajaan bertindak secara tergesa-gesa, namun menegaskan kepentingan keselamatan negara perlu diberikan keutamaan.

“Walaupun saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh. Saya kata, tidak apalah, kalau agak menyusahkan beberapa orang, saya minta maaf. Tetapi bagi saya, keselamatan negara lebih penting,” katanya.

Anwar turut mengaitkan langkah berkenaan dengan pendirian tegas Malaysia menentang Israel, sambil menjangkakan tindakan kerajaan itu mungkin mengundang reaksi daripada pihak tertentu.

“Apa lagi kita, kerana kita di antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu. Jadi tentunya tindakan kita itu dipantau. Saya percaya lepas ini, semua pengaruh mereka akan digunakan untuk menghentam kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui aplikasi navigasi tempatan TuJu masih mempunyai kelemahan, namun meminta rakyat bersabar dan mempertimbangkan penggunaan aplikasi alternatif.

“Tapi janganlah rakyat kita sendiri, walaupun saya tahu TuJu itu ada kelemahan. Gunalah yang (aplikasi) lain-lain. Tapi sabarlah sekejap, carilah jalan jauh sikit tidak apalah, daripada serah maklumat kepada Israel,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here