SEORANG lelaki dikhuatiri hilang dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di sungai berhampiran Kampung Lubok Punggor, Kota Samarahan hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, keluar bersama ahli keluarganya awal pagi sebelum dilaporkan dibaham buaya sekitar pukul 4 petang.
Menurutnya kejadian berlaku kira-kira 200 meter dari kampung dan usaha awal pencarian oleh penduduk gagal menemui mangsa.
“Dilaporkan mangsa menjalankan aktiviti menjala udang di tebing Sungai Lubuk Punggor Simunjan menggunakan perahu bersama ahli keluarganya pada awal pagi,” katanya lapor Bernama.
PGO JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.56 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan serta BBP Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi sejauh 45 kilometer.
Seramai enam anggota menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda tiba di lokasi pada pukul 7.03 malam untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun operasi ditangguhkan pada7.40 malam dan akan disambung semula pagi esok.


