SEORANG lelaki warga Filipina yang mempunyai rekod kesalahan dadah di negaranya dipercayai individu yang menyewa jet peribadi tempatan bagi menyeludup 521 kilogram (kg) dadah dari Laos ke Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mengenal pasti sindiket dan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan di Malaysia.
Katanya sehingga kini, JSJN telah merakam percakapan beberapa orang saksi termasuk seorang individu warga Malaysia yang bertindak sebagai broker bagi menguruskan penyewaan pesawat tersebut.
“Individu tersebut mendedahkan pesawat berkenaan disewa oleh seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun yang dikenal pasti sebagai seorang bekas juruterbang dan mempunyai rekod kesalahan dadah di negara tersebut.
“Dapatan siasatan juga mendedahkan seorang wanita warga Filipina berusia 51 tahun turut terlibat dan dipercayai bertindak sebagai koordinator dalam sindiket ini,” katanya lapor Sinar Harian.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas 521 kg dadah jenis kristal disyaki methamphetamine daripada sebuah jet persendirian yang tiba dari Subang.
Siasatan mendapati pesawat itu berlepas dari Subang tanpa membawa muatan sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira jam 11.30 pagi.
Hussein bekkata, JSJN turut bekerjasama dengan Wisma Putra dan pihak Philippine Drug Enforcement Agency (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu dalam siasatan kes ini.





