Kemenangan Wafiyya dirampas, bapa terus perjuang keadilan apabila bantahan ditolak

BAPA kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Wafiyya, tetap memperjuangkan nasib anaknya selepas bantahan terhadap keputusan acara jalan kaki 1,200 meter sempena Junior Development Programme (JDP) 2026 baru-baru ini ditolak.

Bantahan itu dikemukakan susulan dakwaan berlaku insiden peserta lain memintas Wafiyya ketika perlumbaan berbaki kira-kira 50 meter sebelum garisan penamat.

Menerusi hantaran yang dikongsikan, bapa kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Anas mendakwa, anaknya dipintas seorang peserta yang memakai jersi oren sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Perlumbaan yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur pada 14 November lalu itu turut mencetuskan perhatian selepas Anas mendakwa kejadian seumpama itu pernah berlaku kepada anaknya sebelum ini.

Rakaman video perlumbaan itu turut tular dalam media sosial serta mendapat komen netizen yang rata-rata mengecam keputusan tidak adil kepada kanak-kanak perempuan itu.

Beliau turut merakamkan video kejadian berkenaan sebelum mengemukakan bantahan bagi mendapatkan penjelasan mengenai keputusan perlumbaan.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang dikongsikan dalam media sosial, ketua hakim kejohanan itu mengekalkan keputusan asal selepas membuat semakan menyeluruh dan memutuskan bahawa keputusan itu adalah muktamad.

Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak memadamkan harapan Anas untuk melihat anaknya terus mengembangkan bakat dalam sukan jalan kaki.

Beliau menyimpan impian agar Wafiyya, yang mesra dipanggil Fiya, suatu hari nanti berpeluang mewakili negara sebagai atlet jalan kaki Malaysia.

Hantaran itu turut mengetengahkan kepentingan memastikan pertandingan sukan membabitkan atlet muda berlangsung secara adil, selain setiap bantahan diberikan penelitian sewajarnya.

Dalam masa sama, pengalaman menang dan kalah perlu menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran kanak-kanak untuk membina disiplin, semangat kesukanan serta keyakinan diri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here