Lelaki hilang sejak 4 Oktober, mayat ditemui di kebun sawit

KEHILANGAN seorang lelaki berusia 67 tahun sejak 4 Oktober lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Air Puteh, Serdang, Kedah, semalam.

Mayat Abdul Aziz Ali ditemukan anak lelakinya yang berusia lingkungan 30-an kira-kira jam 5.30 petang ketika melakukan pencarian bersama ahli keluarga lain.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintendan Muhamad Sani Mat Ali berkata, kawasan penemuan mayat dipenuhi semak samun dan kebun kelapa sawit berkenaan sudah lama tidak diusahakan.

“Jarak dari rumah mangsa ke lokasi kejadian hanya kira-kira 1.5 kilometer. Laluan ke tempat mangsa ditemui dipenuhi semak dan jalan tanah merah itu sudah lama tidak digunakan penduduk kampung serta bukan laluan biasa mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ahli keluarga sebelum ini turut melakukan pencarian di kawasan sama, namun tidak menemui mangsa berkemungkinan kerana terjatuh di lokasi tersorok.

“Mayat mangsa ditemui berdekatan motosikal, manakala telefon bimbit dan beberapa barangan peribadinya masih berada pada motosikal itu,” katanya.

Muhamad Sani berkata, pemeriksaan awal mengesahkan identiti mangsa berdasarkan keadaan fizikal dan barangan peribadi yang ditemukan di lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan awal juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pada awal bulan ini, waris mangsa memohon bantuan orang awam untuk mengesan Abdul Aziz yang mengalami masalah daya ingatan dan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Air Puteh pada 4 Oktober lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here