Lelaki maut tersepit, kereta bertembung pacuan empat roda

SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuh Raya Pan Borneo di Kampung Lumat di Beaufort pagi tadi.

Mangsa berusia 45 tahun yang tersepit di dalam kereta berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat menggunakan peralatan khas menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 pagi sebelum lapan anggota bersama Jentera Pemadam Kebakaran (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan Toyota Hilux Double Cab yang masing-masing dipandu seorang lelaki dipercayai bertembung.

“Pemandu Proton Saga didapati tersepit di dalam kenderaan dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas penyelamatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ishak berkata, pemandu Toyota Hilux berusia 53 tahun pula berjaya keluar sendiri dari kenderaannya tanpa mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 9.38 pagi selepas lokasi dipastikan selamat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img