SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam meninggal dunia ketika dirawat selepas dipercayai dipukul dan ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Padang Lati di Bachok, semalam.
Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 7.30 pagi dalam keadaan kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir di Zon Merah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, tengah malam tadi.
Saksi kejadian, Mohd Yusof Shafie, 60, berkata, dia dihubungi rakan sekampung memaklumkan mengenai kejadian kemalangan dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba, dia melihat pemuda itu masih bernyawa tapi dalam keadaan nazak dengan kecederaan parah di kepala dan darah beku memenuhi mukanya.
“Kejadian itu agak pelik kerana dikatakan kemalangan tapi motosikal dinaiki mangsa tidak mengalami sebarang kerosakan sebaliknya mangsa cedera parah.
“Sebaik meneliti wajah mangsa, saya tahu dia bukan penduduk kampung ini namun ada yang mengenalinya kerana tinggal di kampung tidak jauh dari sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Yusof berkata, dia terkejut menerima berita pemergian mangsa namun sudah dapat mengagak berdasarkan kecederaan parah dialami mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh,” katanya.


