POLIS berjaya menahan lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang jemaah wanita di sebuah masjid di Bukit Siput, Segamat, kelmarin.
Suspek berusia lingkungan 20-an ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hasil maklumat diperoleh jam 3.15 pagi tadi di sebuah rumah di Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, siasatan mendapati suspek adalah warga tempatan dan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU).
Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek bukanlah penduduk daerah ini dan dia adalah OKU pembelajaran.
“Sehari sebelum itu, suspek datang ke Segamat bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa. Keesokan hari, suspek mengambil peluang sebelum pulang ke Johor Bahru dengan melakukan perbuatan tidak senonoh.
“Semakan juga mendapati suspek tiada rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga menunjukkan dia bebas bahan terlarang,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Menurut Jumazanzahir, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
“Polis memandang serius sebarang pelakuan tidak senonoh terutama di rumah ibadat dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu melanggar undang-undang,” katanya.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi kelmarin, jemaah wanita berusia 40 tahun bertempiaran lari selepas melihat suspek berpakaian separuh bogel selain melakukan onani sambil memandangnya.


