POLIS menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun selepas disyaki memukul dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan bawah umur dalam kejadian di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita warga tempatan kira-kira pukul 8 malam memaklumkan mangsa telah diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama kakak dan abangnya dalam perjalanan ke pasar malam melalui Jalan Bakawali sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menarik mangsa masuk ke dalam rumahnya.
“Suspek kemudiannya bertindak memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ibrahim, susulan laporan diterima, polis dari Balai Polis Bukit Sentosa berjaya menahan suspek di rumahnya dalam kawasan berkenaan.
“Hasil semakan mendapati suspek merupakan seorang penganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.
“Permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


