Lima maut, 42 diselamatkan,87 masih hilang kapal terbakar di Palawan

SEKURANG-kurangnya lima orang dilaporkan maut manakala 42 lagi berjaya diselamatkan selepas sebuah kapal terbakar di perairan Coron, Palawan, Filipina, pada Rabu.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) dalam hantaran di Facebook memaklumkan kebakaran berlaku di atas kapal  M/V June Aster di perairan berhampiran Coron.

Video yang dikongsikan PCG menunjukkan kapal berkenaan musnah dalam kebakaran dengan api marak memenuhi keseluruhan bahagian kapal.

Jurucakap PCG, Komodor Noemie Cayabyab berkata, sehingga jam 11.10 malam, seramai 42 individu berjaya diselamatkan, manakala lima mangsa yang dilaporkan maut dibawa ke Dewan Tertutup Barangay Turda di Coron.

Mayat mangsa kemudiannya akan diserahkan kepada Pejabat Pengurusan Pengurangan dan Risiko Bencana Perbandaran Coron untuk tindakan selanjutnya.

Menurut PCG, daftar penumpang kapal itu merekodkan 117 penumpang dan 17 anak kapal, lapor philstar.com.

Dalam hantaran terdahulu, PCG memaklumkan kapal terbabit berada kira-kira 1.2 batu nautika di timur laut Barangay Marcilla ketika kebakaran berlaku.

Operasi menyelamat diselaraskan bersama Balai Pengawal Pantai Turda, Balai Pengawal Pantai Tara, Biro Perlindungan Kebakaran Coron, Pejabat Pengurusan Pengurangan dan Risiko Bencana Perbandaran, kerajaan tempatan Coron serta syarikat perkapalan yang mempunyai kapal berlabuh di Pelabuhan Coron.

Anggota Unit Perlindungan Alam Sekitar Maritim PCG di Northeastern Palawan dan Kumpulan Operasi Khas Pengawal Pantai turut dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kapal BRP Suluan juga berlepas dari Pelabuhan San Fernando di El Nido menuju ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan tambahan.

Sementara itu, Daerah Pengawal Pantai Palawan bersama unit lain yang terbabit terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat secara sistematik di perairan sekitar Coron.Punca kebakaran masih dalam siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here