MAHA 2026 bukti sektor pertanian kekal tonggak penting negara – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan luar biasa terhadap Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 sebagai bukti bahawa sektor pertanian kekal menjadi tonggak penting kepada pembangunan dan keterjaminan negara.

Menurut Perdana Menteri, kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga tidak seharusnya menyebabkan negara melupakan kepentingan sektor pertanian sebagai asas kepada kehidupan rakyat.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Sambutan luar biasa terhadap MAHA membuktikan bahawa pertanian kekal sebagai tonggak penting negara. Tatkala dunia berbicara tentang kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga, kita mesti berani menggapai di langit, namun tetap mengakar ke bumi,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata demikian selepas meluangkan masa bersama keluarga besar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selain bertemu pesawah, petani, peladang, nelayan serta pengusaha yang mengambil bahagian dalam MAHA 2026.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau memberitahu, perkembangan dalam sektor pertanian negara turut memperlihatkan bagaimana penggunaan teknologi mampu meningkatkan pengeluaran serta memperluaskan potensi pasaran.

Katanya, peningkatan eksport nanas dan perkembangan pengeluaran bawang tempatan merupakan antara contoh kejayaan penerapan teknologi dalam memperkukuh hasil pertanian negara.

Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memberi keutamaan kepada sektor pertanian, termasuk melalui penyediaan peruntukan dalam Belanjawan Negara akan datang.

“Dengan potensi yang begitu besar, saya tidak teragak-agak untuk menyokong penambahan peruntukan yang memberi manfaat langsung kepada warga tani. Namun, setiap ringgit wang rakyat mesti diurus dengan cermat dan penuh amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan aspek tata kelola perlu diberi perhatian serius bagi memastikan peruntukan dan sumber negara benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

Beliau berkata, sebarang kebocoran, ketirisan atau salah guna kuasa akhirnya akan memberi kesan kepada golongan yang bergantung kepada sektor pertanian seperti petani, pesawah dan nelayan.

“Tata kelola tidak hanya melibatkan orang atasan. Apabila berlaku kebocoran, ketirisan atau salah guna kuasa, yang akhirnya terdera dan menanggung derita adalah petani, pesawah dan nelayan. Kerana itu saya tekad untuk meneruskan usaha membersihkan negara daripada segala kecurangan,” katanya.

Anwar turut menyentuh mengenai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang disifatkannya sebagai peringatan jelas mengenai kesan kelemahan pengurusan dan penyelewengan terdahulu.

Menurut beliau, institusi yang pernah dibanggakan sebagai antara perusahaan perladangan terbesar dunia itu kini memerlukan hampir RM1 bilion setahun daripada kerajaan untuk menanggung hutang yang berpunca daripada masalah pengurusan dan penyelewengan lalu.

“Saya tidak sanggup membebankan hutang ini di atas bahu para peneroka yang telah meredah belantara dan membanting tulang, sedangkan mereka bukan punca kerugian tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata, prinsip amanah dan pertanggungjawaban perlu terus dipelihara walaupun MAHA 2026 sudah melabuhkan tirainya.

Katanya, setiap pelaburan, urus niaga dan kesepakatan yang dicapai sepanjang penganjuran MAHA perlu disusuli dengan tindakan yang berkesan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai rakyat.

“Amanah dan pertanggungjawaban inilah yang mesti diteruskan selepas MAHA 2026 melabuhkan tirai. Setiap pelaburan, urus niaga dan kesepakatan yang dicapai harus disusuli dengan tindakan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Anwar pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan MAHA 2026, yang disifatkannya sebagai satu edisi membanggakan dalam sejarah penganjuran acara berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here