Malaysia-Jepun perkukuh kerjasama pelaburan berteknologi tinggi

MALAYSIA dan Jepun bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pelaburan berteknologi tinggi termasuk teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya, Sanae Takaichi sempena lawatan rasmi tiga hari ke Jepun.

Menurut Anwar, langkah itu bagi memastikan Malaysia terus menerima kerjasama dan sokongan kerajaan dan syarikat utama Jepun bagi mempercepat pembangunan sektor berkenaan.

Selain hubungan perdagangan dan pelaburan, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara turut memberi penekanan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu seperti kuantum yang kini muncul sebagai antara bidang strategik baharu di peringkat global.

“Soal kuantum yang ditekankan oleh IBM ini sekarang. Dan ini sangat-sangat penting seperti mana kita tekankan soal AI dulu.

“Ia satu bidang yang baru yang telah kelihatan sangat ketara tumpuan dan sangat teknikal dan memerlukan perincian dari segi kejuruteraan peringkat tinggi dan harus diberikan tumpuan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media penutup selepas mengakhiri lawatan rasmi  ke Jepun sejak Isnin lalu bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong di Tokyo hari ini, lapor Buletin TV3.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Majlis Kuantum Negara bagi menyelaras pembangunan teknologi berkenaan secara lebih tersusun.

Beliau berkata, perkara itu akan diperhalusi kementerian berkaitan sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Katanya, syarikat teknologi antarabangsa, IBM yang ditemui dalam sesi bersemuka sebelum ini mempunyai operasi di beberapa negara besar Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, kini memilih Malaysia sebagai lokasi bagi pengembangan inisiatif berkaitan teknologi kuantum.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kini lebih cenderung menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memindahkan teknologi serta meningkatkan keupayaan tempatan berbanding menerima semua bentuk pelaburan tanpa penilaian strategik.

“Tentunya kita ada menentukan beberapa keutamaan dari sudut dagang, dari sudut perjanjian perdagangan dan memastikan Jepun itu dalam beberapa pandangan dari sudut terutama perdagangan dan ekonomi, sealiran, sefahaman dengan kita.

“Setakat ini, seperti mana kita tahu melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) utamanya, kita telah meningkatkan nilai perdagangan negara kita bagi umpama tahun 2025 yang 2,800 projek, RM142.96 bilion. Tapi yang penting ialah peluang pekerjaan, lebih 340,000 peluang pekerjaan keseluruhannya dari segi nilai pelaburan yang tinggi ini,” katanya.

Selain itu, perkembangan lain yang diketengahkan sepanjang lawatan itu termasuk usaha memperkukuh jaringan penyelidikan dan pembangunan teknologi antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun.

Perdana Menteri berkata, penyelidikan AI yang sebelum ini membabitkan Universiti Tokyo dengan Universiti Malaya bakal diperluaskan kepada Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img