Malaysia kutuk pencerobohan beramai-ramai ke atas Masjid Al-Aqsa

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan secara beramai-ramai ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh lebih daripada 4,200 puak pelampau Yahudi termasuk seorang menteri rejim Zionis Israel di bawah perlindungan tentera rejim Zionis Israel pada Khamis lalu.

Kementerian Luar menerusi Wisma Putra berkata, tindakan menyerbu tempat suci ketiga umat Islam, disusuli sekatan yang dikenakan ke atas jemaah Palestin serta pelaksanaan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kawasan kompleks berkenaan, adalah pelanggaran nyata terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir tapak suci itu.

Menurutnya, tindakan ini juga pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan mengenai status Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

“Malaysia memandang provokasi melampau ini sebagai sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan oleh rejim Zionis Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, yang bertujuan untuk menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, undang-undang, dan demografinya.

“Tindakan-tindakan ini bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia,” menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Katanya, Malaysia menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan sokongan teguhnya terhadap hak-hak mutlak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img