Malaysia tegas kutuk pengeboman, pembantaian Israel terhadap Iran yang didukung AS

MALAYSIA menyatakan pendirian tegas mengutuk pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pendirian itu ketika berhubung dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi melalui panggilan telefon lewat petang tadi.

“Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan.

“Saya berkongsi pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung AS.

“Kami sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat,” katanya melalui hantaran yang dimuat naik di Facebook malam ini.

Anwar berkata, beliau bersama rakan sejawatnya itu sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.

“Walhasil, kerjasama padu ini menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam, termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.

“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.

Sementara itu, Modi turut berkongsi detik perbualan beliau bersama Anwar melalui panggilan sama, di mana beliau menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.

Pemimpin India itu menyampaikan salam kepada Anwar sempena sambutan Aidilfitri dan membincangkan situasi di Asia Barat yang dicetuskan oleh perang AS-Israel ke atas Iran.

“Bercakap dengan rakan saya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari Malaysia, dan menyampaikan salam hangat kepada beliau serta rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Kami juga membincangkan situasi yang amat membimbangkan di Asia Barat dan mengesahkan semula komitmen bersama kami untuk mengendurkan ketegangan serta pemulihan awal keamanan dan kestabilan melalui dialog serta diplomasi,” katanya melalui laman X beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img