Malaysia, Uzbekistan capai persetujuan teroka kerjasama tanaman melon, sektor perikanan

MALAYSIA dan Uzbekistan akan bekerjasama meneroka potensi pembangunan tanaman melon, sektor perikanan serta pemodenan penanaman padi menggunakan teknologi seperti dron.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, persetujuan itu dicapai semasa kunjungan hormat Gabenor Wilayah Sirdarya, Uzbekistan, Erkinjon Turdimov terhadap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di kementerian itu di Putrajaya, semalam.

DATUK Seri Mohamad Sabu (kiri) bertukar cenderahati dengan Gabenor Wilayah Sirdarya, Uzbekistan, Erkinjon Turdimov sewaktu kunjungan hormat beliau ke pejabat KPKM di Putrajaya, semalam. GAMBAR: Facebook Mohamad Sabu

“Kunjungan ini menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala Malaysia-Uzbekistan dalam sektor pertanian dan agromakanan, selaras dengan keutamaan Malaysia dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

“Perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama dalam pembangunan tanaman melon, sektor perikanan serta pemodenan penanaman padi menggunakan teknologi seperti dron,” menurut KPKM dalam kenyataan hari ini.

Pada pertemuan berkenaan, Mohamad turut menyampaikan jemputan kepada Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS, Serdang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Sesi kunjungan hormat itu turut disertai Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev serta pegawai-pegawai kanan KPKM.

Wilayah Sirdarya di Uzbekistan terkenal sebagai kawasan pertanian yang menghasilkan tanaman seperti kapas, gandum dan tembikai.

Nilai perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dan Uzbekistan mencecah RM266 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.

Ia melibatkan eksport pelbagai produk pertanian Malaysia ke negara itu seperti kopi, koko, teh, rempah ratus serta produk pertanian terproses, manakala import dari Uzbekistan merangkumi buah-buahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img