MALDIVES bercadang memperketat dasar imigresennya dengan menjadikan larangan kemasukan pemegang pasport Israel berkuat kuasa tanpa sebarang syarat atau pengecualian.
Presidennya, Mohamed Muizzu berkata, rang undang-undang imigresen baharu yang dicadangkan akan menetapkan sekatan berkenaan tanpa mengambil kira sebarang perubahan keadaan pada masa depan.
Beliau berkata, langkah itu memperkukuh pendirian kerajaan Maldives berhubung tindakan Israel terhadap rakyat Palestin yang disifatkannya sebagai genosid.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan pejabat Presiden, Muizzu menjelaskan bahawa sekatan terdahulu bertujuan menghalang kemasukan pemegang pasport Israel sehingga negara itu menamatkan tindakan ketenteraannya terhadap rakyat Palestin.
Bagaimanapun, cadangan baharu itu akan menghapuskan syarat berkenaan bagi memastikan larangan tersebut terus dilaksanakan tanpa mengira perkembangan masa depan, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Presiden pada Isnin lalu.
Muizzu turut menegaskan bahawa membenarkan pemegang pasport Israel memasuki negara kepulauan di Lautan Hindi itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata, Maldives akan terus mempertahankan hak rakyat Palestin menerusi platform antarabangsa dan saluran perundangan.
Negara itu mula menguatkuasakan larangan kemasukan pemegang pasport Israel pada April 2025 selepas Muizzu meratifikasi pindaan Akta Imigresen yang diluluskan Parlimen.
Ketika mengumumkan keputusan berkenaan, beliau menyifatkannya sebagai manifestasi solidariti Maldives terhadap rakyat Palestin serta penentangan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Maldives turut konsisten menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).





