Ahmad Zahid beri bayangan kerjasama BN-PN diperluas ke peringkat nasional

KERJASAMA politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi diperluaskan ke peringkat nasional sekiranya kedua-dua gabungan itu mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama yang sedang dibina di Melaka bukan sekadar untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya menjadi permulaan kepada agenda penyatuan politik lebih besar.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan perlu mengetepikan perbezaan politik terdahulu bagi membolehkan usaha membentuk kerjasama yang lebih menyeluruh diteruskan selepas PRN berkenaan.

Menurutnya, sekiranya BN dan PN memperoleh majoriti yang baik di Dewan Undangan Negeri (DUN), kedua-dua pihak berpeluang membentuk kerajaan negeri secara bersama.

“Selepas 14 hari bulan ini, selaku Pengerusi Barisan Nasional, ditakdirkan kemenangan bersama-sama BN dan PN, insya-Allah Kerajaan Negeri Melaka juga akan melibatkan Perikatan Nasional di dalam pembentukan kerajaan di Negeri Melaka ini.

“Kita lupakan perbezaan-perbezaan yang lalu. Kita jangan berhenti di Negeri Melaka sahaja. Kerja kita lebih besar lagi selepas ini.

“Insya-Allah kalau kita peroleh majoriti yang baik di peringkat DUN, apatah lagi kerusi-kerusi yang akan kita tandingi maka inilah gambaran bahawa BN dan PN akan bersepakat untuk berjalan serentak melepasi jambatan untuk kita membina rumah baharu di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PN dan BN di DUN Paya Rumput, malam tadi.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha membina sebuah gabungan lebih besar yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengetepikan kepelbagaian agama, bangsa, budaya dan bahasa.

Katanya, pendekatan menyantuni pelbagai kaum dan agama yang dilaksanakan Pas turut menjadi antara asas kepada usaha membina penyatuan berkenaan.

“Rumah besar ini adalah rumah yang kita bina untuk ummah keseluruhannya. Rumah besar ini untuk menyatukan fikrah di kalangan kita tanpa kita mengenepikan agama, bangsa, budaya, dan bahasa lain.

“Insya-Allah bermula daripada Melaka ini, agenda besar kita untuk melakukan ‘game changer’, untuk melakukan perubahan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, perbezaan yang pernah wujud antara kedua-dua gabungan perlu diketepikan bagi membolehkan agenda kerjasama itu diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here