MetMalaysia sahkan gempa bumi di perairan Sabah terkuat dalam tempoh 11 tahun

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Sabah awal pagi tadi adalah yang terkuat pernah melanda negara ini dalam tempoh 11 tahun.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan rekod jabatan itu, gegaran terkuat direkodkan di Malaysia sebelum ini adalah bermagnitud 6.0 di Ranau, Sabah yang berlaku pada 5 Jun 2015.

Kata beliau, gempa bumi yang berlaku 11 tahun lalu itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara kejadian paling diingati dalam lipatan sejarah negara.

Mengulas mengenai kejadian hari ini, Mohd Hisham berkata, gempa di perairan Sabah berlaku berikutan kedudukan negeri itu yang berhampiran kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif gempa bumi akibat pergerakan plat kerak bumi.

“MetMalaysia masih menjalankan pemantauan rapi dan setakat ini, tiada sebarang gempa susulan direkodkan,” katanya.

Mohd Hisham berkata, MetMalaysia akan terus memantau secara berterusan aktiviti seismik di kawasan terbabit.

“Memandangkan pusat gempa berada jauh di bawah permukaan bumi, iaitu pada kedalaman 678 kilometer, hanya gegaran lemah dapat dirasai oleh orang ramai,” katanya.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan bahawa gempa bumi itu, yang melanda perairan Sabah pada jam 12.57 awal pagi tadi, tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Pusat gempa itu terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah dan gegaran dirasai di beberapa kawasan di negeri berkenaan selain Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img