Maulidur Rasul 2026: Syed Azman penerima Anugerah Tokoh Perdana, Ayob Khan diiktiraf Tokoh Wira Negara

PENGASAS merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul 2026 Peringkat Kebangsaan 1448/2026.

Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Beliau menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Ketika ditemui media, Syed Azman meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan terhadapnya.

“Saya rasa macam tidak percaya dan terharu…Saya sebenarnya tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan. Kita hanya menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan pelbagai kategori anugerah lain kepada beberapa tokoh tersohor atas sumbangan cemerlang mereka dalam bidang masing-masing.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Wira Negara atas jasa besar beliau memelihara keselamatan negara serta ketegasannya membanteras ancaman keganasan dan jenayah terancang.

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Wira Negara kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin PItchay pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448/2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. GAMBAR: NST

Pengiktirafan lain menyaksikan cendekiawan Islam, Maulana Abdul Hamid Chin dinamakan sebagai Tokoh Agamawan, manakala Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ruzita Mohd Amin menerima Anugerah Tokoh Wanita MADANI.

Bagi kategori sains dan pembangunan komuniti, bekas Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir diangkat sebagai Tokoh Saintis, manakala Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dipilih sebagai Tokoh Belia Harapan.

Anugerah Tokoh Keluarga Mithali pula diberikan kepada Laman Yasim dari Sarawak, sementara personaliti media sosial yang terkenal dengan gelaran `Muka Gangster’, Muhammad Mikhael Sathayah mendapat pengiktirafan bagi kategori Tokoh Khas (Saudara Baru Cemerlang).

Syed Azman, 66, merupakan tokoh korporat yang berjaya memimpin Kumpulan Weststar menjadi antara pemain utama dalam industri perkhidmatan helikopter, terutamanya bagi menyokong operasi sektor minyak dan gas.

Perjalanan kerjaya beliau bermula dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1981 sebaik tamat persekolahan dengan menyertai Kor Risik DiRaja, sebelum diberi tanggungjawab berkhidmat di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Sebaik sahaja keluar daripada perkhidmatan ketenteraan, beliau menceburi sektor swasta dan membangunkan Kumpulan Weststar sebagai sebuah konglomerat pelbagai bidang. Anak syarikatnya, Weststar Aviation Services kini muncul sebagai penyedia perkhidmatan helikopter terkemuka dengan mengendalikan lebih 40 buah helikopter untuk syarikat gergasi tenaga seperti Petronas Carigali, Shell dan Tullow Oil.

Selain kejayaan korporat, beliau turut aktif dalam pelbagai usaha kebajikan dan kemasyarakatan, termasuk menyokong pembangunan masjid dan surau, saluran bantuan bencana alam, pengurusan rumah anak yatim, serta pelbagai program kebajikan khusus untuk veteran ATM dan keluarga mereka.

Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada September 2025.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here