Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam kanvas

SEKUMPULAN pemancing di Pulau Angsa di Jeram, Kuala Selangor hari ini cemas apabila menemukan satu mayat yang dibungkus dengan kanvas dan diikat tali, tersangkut di tebing batu.

Mayat yang sudah berbau itu ditemukan kira-kira jam 4.50 petang kelmarin sebelum mereka segera menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, sebaik sahaja menerima panggilan, pihaknya bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan dijalankan anggota forensik mendapati mayat itu sudah mereput dan kemudian dibawa ke Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azaharudin berkata, proses bedah siasat yang dijalankan jam 9 pagi tadi mengesahkan mayat itu seorang lelaki.

“Punca kematian mangsa disebabkan lemas akibat dijerut di leher. Setakat ini identitinya belum dapat dikenal pasti. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Khairol Hiysham Shamsudin di talian 03-3289 1222.

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 22 saat yang memaparkan penemuan mayat dalam keadaan berbungkus di Pulau Angsa. Insiden itu disaksikan orang awam yang sedang memancing.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img