Pemandu bas ekspres guna sebelah tangan sah positif syabu

PEMANDU bas ekspres yang ditahan hari ini selepas tular memandu dalam keadaan berbahaya menggunakan sebelah tangan baru-baru ini, disahkan positif mengambil dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu sebelum ini ditahan selepas menyerah diri bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek ditahan ketika hadir di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah jam 12.10 tengah hari tadi.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

“Tangkapan telah dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan pemandu terbabit ditahan ketika hadir di IPD Alor Gajah tengah hari tadi sebelum dibawa ke lokap untuk proses lanjut sebelum permohonan reman dibuat di mahkamah esok.

Melalui video tular berdurasi satu minit 20 saat itu, suspek dalam keadaan khayal memandu sambil menyandar ke belakang dan hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 15 April sekitar jam 3.50 pagi ketika bas ekspres itu dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru sementara video kejadian tersebut mula tular pada jam 1.05 petang, sehari selepas kejadian.

“Suspek yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai pemandu bas didapati memandu dalam keadaan tidak selamat serta tidak memberi tumpuan sepenuhnya semasa mengendalikan kenderaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Ahmad.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok bagi membantu siasatan.

Menurut Ahmad, polis memandang serius tindakan pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya melibatkan pengangkutan awam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img